Kesan Serangan 11 September 2001

Tindak balas semerta

Presiden A.S., George W. Bush mendengar taklimat serangan World Trade Center.Seorang ahli bomba Bandar Raya New York menyeru 10 orang lagi penyelamat supaya datang ke runtuhan World Trade Center.

Tragedi 9/11 dengan segeranya meninggalkan kesan yang amat sangat kepada rakyat Amerika.[153] Ramai pegawai polis dan penyelamat di seluruh negara mengambil cuti untuk ke Bandar Raya New York untuk membantu dalam proses pencarian mayat daripada sisa-sisa Menara Berkembar.[154] Kegiatan menderma darah turut meningkat secara mendadak di seluruh A.S. dalam beberapa minggu selepas 9/11.[155][156]

Seramai tiga ribu orang kanak-kanak kehilangan salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya dalam kejadian ini.[157] Selain kehilangan ibu bapa, turut dirakam juga kekhuatiran kanak-kanak akan kehilangan nyawa atau persekitaran yang selamat, serta kesan tragedi kepada penjaga-penjaga yang masih hidup.[158][159][160]

Buat pertama kali dalam sejarah, SCATANA diseru untuk menutup segala ruang udara, sekaligus memaksa semua pesawat awam bukan kecemasan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain termasuk Kanada mendarat serta-merta,[161] menyebabkan puluh ribuan penumpang terkandas di seluruh dunia.[162] Sebarang penerbangan antarabangsa tidak dibenarkan memasuki ruang udara A.S. oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, menyebabkan sebanyak 500 penerbangan terpaksa berpatah balik atau dilencongkan ke negara. Kanada menerima 226 penerbangan terlencong itu lantas melancarkan operasi kecemasan untuk menguruskan sebegitu banyak kapal terbang dan penumpang yang terkandas.[163]

Operasi ketenteraan ekoran serangan

Pada 2:40 petang 11 September, Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld mengeluarkan arahan segera kepada para pembantunya untuk mencari bukti pelibatan Iraq, menurut catatan yang diambil oleh pegawai dasar kanan, Stephen Cambone. "Best info fast. Judge whether good enough hit S.H." — meaning Saddam Hussein — "at same time. Not only UBL" (Cari maklumat terbaik segera. Nilai sama ada Saddam Hussein terlibat sekali, bukan sahaja Osama bin Laden), seperti yang dipetik daripada catatan Cambone daripada Rumsfeld.[164][165]

Majlis NATO mengisytiharkan bahawa serangan ke atas Amerika Syarikat merupakan serangan ke atas semua negara NATO, dan dengan itu, memenuhi takrifan Perkara 5 Piagam NATO. Inilah kali pertama digunakannnya Perkara 5 yang digubal sebagai langkah berjaga-jaga akan serangan Kesatuan Soviet ketika Perang Dingin.[166] Sekembalinya di Australia setelah kunjungan rasmi ke A.S. ketika serangan berlaku, Perdana Menteri Australia, John Howard menggunakan Perkara IV perjanjian ANZUS. Sejurus selepas serangan berlaku, kerajaan Bush mengumumkan Perang Terhadap Keganasan, dengan matlamat membawa Osama bin Laden dan al-Qaeda ke muka pengadilan serta mencegah kebangkitan rangkaian pengganas yang lain. Antara pendekatan yang diambil untuk mencapai matlamat ini termasuklah sekatan ekonomi dan ketenteraan ke atas negara-negara yang dilihat melindungi pengganas, serta mempertingkat usaha pemantauan dan perisikan sedunia.

Pada 7 Oktober 2001, Perang di Afghanistan bermula apabila tentera A.S. dan British melancarkan kempen pembedilan udara di Afghanistan dengan kem-kem Taliban dan al-Qaeda sebagai sasaran, kemudian menghantar tentera Pasukan Operasi Khas untuk menceroboh Afghanistan. Penggulingan pemerintahan Taliban di Afghanistan oleh tentera campuran pimpinan A.S. merupakan operasi kedua terbesar usaha Perang Terhadap Keganasan di luar A.S., dan yang terbesar yang berkaitan langsung dengan terorisme. Filipina dan Indonesia, antara negara-negara yang berdepan dengan konflik dalaman dengan keganasan Islam, juga mempertingkatkan kebersediaan tenteranya.[167][168]

Gerak balas dalam negara

Presiden Bush berucap di sesi bersama kedua-dua dewan Kongres pada 20 September 2001

Ekoran kejadian serangan ini, kadar sambutan baik Presiden Bush meningkat ke 90%.[169] Pada 20 September 2001, presiden A.S. berucap kepada negaranya dan sesi bersama kedua-dua dewan Kongres Amerika Syarikat, berkenaan kejadian-kejadian pada hari itu, sembilan hari usaha mencari dan menyelamat yang berselang, dan hasratnya untuk bergerak balas kepada kejadian-kejadian itu. Sehubungan dengan itu, Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani mendapat sanjungan tinggi di seluruh kota dan negara kerana memainkan peranan besar dalam bergerak balas terhadap kejadian ini.[170]

Tabung-tabung bantuan dibuka serta-merta untuk membantu mangsa-mangsa serangan, dengan tugas menyediakan bantuan kewangan kepada mangsa yang terselamat dan juga sanak-saudara mangsa, misalnya Coalition of 9/11 Families. Hingga tarikh akhir pemampasan mangsa, 11 September 2003, 2,833 permohonan telah diterima daripada keluarga mangsa-mangsa terkorban.[171]

Rancangan luar jangkaan untuk kesinambungan pemerintahan dan pemindahan para pemimpin juga dilaksanakan sejurus selepas serangan itu.[162] Bagaimanapun, Kongres tidak dimaklumkan bahawa Amerika Syarikat berada di bawah status kesinambungan pemerintahan sehingga Februari 2002.[172]

Di dalam Amerika Syarikat, Akta Keselamatan Tanah Air 2002 diluluskan oleh Kongres dan ditandatangani oleh Presiden Bush, sekaligus menubuhkan Jabatan Keselamatan Tanah Air yang melambangkan penstrukturan semula terbesar dalam kerajaan Amerika Syarikat dalam sejarah terkini. Kongres juga meluluskan Akta PATRIOT yang bertujuan membantu mengesan dan mendakwa kegiatan pengganas dan jenayah-jenayah seumpamanya.[173]

Akta PATRIOT dibidas oleh para pendukung kebebasan awam yang mendakwa bahawa ia membenarkan pihak penguatkuasa undang-undang untuk menyerang privasi warganegara serta and menghapuskan pengawasan kehakiman terhadap penguatkuasaan undang-undang dan perisikan domestik.[174][175][176] Pentadbiran Bush juga menjadikan kejadian 9/11 sebagai sebab untuk melaksanakan operasi rahsia Agensi Keselamatan Negara "untuk mengintip komunikasi telefon dan e-mel di antara Amerika Syarikat dan orang di luar negara tanpa waran".[177]

Jenayah kebencian

Ekoran serangan 9/11, timbulnya laporan-laporan gangguan dan jenayah kebencian terhadap orang-orang yang berasal dari Timur Tengah dan sesiapa yang kelihatan seperti orang Timur Tengah.[178][179] Golongan Sikh turut disasarkan kerana lelaki Sikh lazimnya memakai serban yang juga dijadikan stereotaip Muslimin di mata Barat. Turut dilaporkan ialah cercaan, serangan masjid dan tempat ibadah yang lain (termasuk pengeboman kuil Hindu) dan serangan terhadap orang, termasuk satu pembunuhan: Balbir Singh Sodhi, seorang tuan stesen minyak di negeri Arizona, ditembak sampai mati pada 15 September 2001. Seperti lelaki Sikh yang lain, beliau juga disalah sangka sebagai Muslim.[178]

Menurut kajian oleh Universiti Negeri Ball, sesiapa yang dirasakan berketurunan Timur Tengah lebih berkemungkinan menjadi mangsa jenayah kebencian sebagai umat Islam ketika ini. Kajian ini juga mendapati peningkatan jenayah kebencian terhadap sesiapa sahaja yang dirasakan beragama Islam, Arab dan sesiapa sahaja yang disangka berasal dari Timur Tengah.[180]

Satu laporan oleh kumpulan sokongan warga Amerika keturunan Asia Selatan, South Asian Americans Leading Together mendokumenkan liputan media 645 insiden yang menyisihkan rakyat Amerika yang berketurunan Asia Selatan atau Timur Tengah pada 11 hingga 17 September, termasuk laku musnah, arson, serangan, tembak-menembak, gangguan, dan ugutan.[181][182]

Reaksi Muslim Amerika

Pertubuhan-pertubuhan Islam terbesar di Amerika Syarikat cepat mengecam serangan 9/11 dan menyeru "umat Islam di Amerika Syarikat supaya tampil ke hadapan dengan kemahiran dan sumber mereka untuk membantu meringankan penderitaan mangsa-mangsa dan ahli-ahli keluarga mereka".[183] Pertubuhan utama termasuklah Persatuan Islam Amerika Utara, Perikatan Muslim Amerika, Majlis Islam Amerika, Majlis Hubungan Amerika-Islam, Islamic Circle of North America, dan Persatuan Ilmuwan Syari'ah Amerika Utara. Di samping derma kewangan, banyak pertubuhan Islam yang melancarkan kempen derma darah dan menyalurkan bantuan perubatan, makanan dan tempat berteduh untuk para mangsa.[184][185][186]

Reaksi antarabangsa

Seorang ahli bomba mendongak ke arah saki-baki Menara Selatan.

Kejadian ini dikecam oleh media massa dan kerajaan-kerajaan sedunia. Bangsa-bangsa di serata dunia memberikan sokongan dan setiakawan pro-Amerika.[187] Serangan ini turut dikecam oleh negara Timur Tengah, kecuali Iraq yang mengeluarkan kenyataan rasmi semerta bahawa "koboi-koboi Amerika mengaup hasil jenayah-jenayah mereka terhadap kemanusiaan".[188]

Berpuluh ribu orang cuba melarikan diri dari Afghanistan ekoran serangan itu kerana bimbang akan tindak balas oleh Amerika Syarikat. Pakistan yang sudah menjadi tempat tinggal ramai pelarian Afghan dari konflik Afghan yang terdahulu, menutup sempadannya dengan Afghanistan pada 17 September. Kira-kira sebulan selepas serangan, Amerika Syarikat mengetuai sebuah campuran tentera antarabangsa yang besar untuk menggulingkan rejim Taliban kerana melindungi pertubuhan al-Qaeda.[189] Pihak berkuasa Pakistan bertindak secara berat hatinya[190] untuk berpakat dengan Amerika Syarikat untuk memerangi Taliban. Pakistan menyediakan sebilangan lapangan terbang dan pangkalan tentera kepada Amerika Syarikat untuk serangannya terhadap rejim Taliban lalu menangkap lebih 600 orang yang disyaki ahli al-Qaeda lalu menyerahkannya kepada Amerika Syarikat.[191]

Kebanyakan negara di dunia, termasuk Kanada, China, United Kingdom, Perancis, Rusia, Jerman, India dan Pakistan memperkenalkan perundangan anti-pengganas serta membekukan akaun bank perniagaan-perniagaan dan individu-individu yang disyaki berhubungan dengan al-Qaeda.[192][193] Agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dan perisikan di beberapa negara, termasuk Itali, Malaysia, Indonesia, dan Filipina turut memberkas pihak-pihak yang disyaki mereka sebagai pengganas dengan menyatakan tujuan memecahkan sarang-sarang militan di seluruh dunia.[194][195]

Di Amerika Syarikat, ini menimbulkan sedikit kontroversi kerana pihak pembangkang seperti Jawatankuasa Pertahanan Perakuan Hak berhujah bahawa sekatan lama terhadap pengawasan persekutuan (cth. pemantauan COINTELPRO terhadap mesyuarat awam) "dimansuhkan" oleh Akta PATRIOT.[196] Pertubuhan-pertubuhan pendesak seperti Kesatuan Kebebasan Awam Amerika dan Liberty turut mendakwa bahawa akta itu telah mencabuli sesetengah perlindungan hak awam.[197][198]

Amerika Syarikat menubuhkan pusat penahanan di Teluk Guantánamo, Cuba untuk menahan banduan-banduan yang ditakrifkan sebagai "penempur musuh haram". Kewajaran penahanan ini telah dipersoal oleh Parlimen Eropah, Pertubuhan Negara-Negara Amerika, dan Amnesty International, antara lainnya.[199][200][201]Seperti di Amerika Syarikat, serangan ini juga mengakibatkan meningkatnya ketegangan antara Muslim dan bukan Muslim di negara-negara lain.[202]

Dalam satu ucapan di Universiti Bar-Ilan, Benjamin Netanyahu menyentuh kejadian serangan itu: "Kita (Israel) mendapat manfaat daripada…serangan terhadap Menara Berkembar dan Pentagon dan perjuangan Amerika di Iraq," yang dikatakannya boleh membuat "pendapat umum Amerika lebih menyebelahi kita."[203][204]

Kesan jangka panjang

Pandangan satelit Manhattan menunjukkan kepulan asap gergasi sehari selepas serangan.

Kesan kepada ekonomi

Kejadian ini meninggalkan kesan ekonomi yang mendalam dalam pasaran Amerika Syarikat dan dunia.[205] Bursa Saham New York (NYSE), Bursa Saham Amerika (AMEX), dan NASDAQ tidak dibuka pada 11 September dan kekal tutup sehingga 17 September. Apabila pasaran saham dibuka semula, pasaran saham Indeks Perindustrian Dow Jones (DJIA) menjunam 684 mata, atau 7.1%, kepada 8921, menjadikannya penurunan mata sehari yang terbesar ketika itu.[206]

Pada akhir minggu itu, DJIA susut 1,369.7 mata (14.3%), iaitu penurunan mata seminggu yang terbesar dalam sejarah, sebelum diatasi pada tahun 2008 ketika krisis kewangan sedunia.[207] Saham A.S. kerugian nilai sebanyak $1.4 trilion pada minggu itu.[207] Ini adalah bersamaan dengan $1.74 trillion dari segi nilai masa kini.[208]

Di Bandar Raya New York, sekitar 430,000 bulan bekerja dan gaji sebanyak $2.8 bilion melayang dalam tiga bulan selepas serangan 9/11. Kesan ekonominya tertumpu pada sektor-sektor ekonomi eksport bandaraya.[209] KDNK bandaraya dianggarkan susut $27.3 bilion pada tiga bulan terakhir 2001 dan seluruh tahun 2002. Kerajaan persekutuan menyediakan bantuan segera bernilai $11.2 bilion kepada kerajaan Bandar Raya New York pada September 2001, dan $10.5 bilion lagi pada awal tahun 2002 untuk keperluan pembangunan ekonomi dan prasarana.[210]

Serangan 9/11 turut menjejaskan perusahaan-perusahaan kecil di Lower Manhattan dekat World Trade Center. Sebanyak 18,000 perniagaan kecil lingkup atau terpaksa berpindah kerana tragedi ini. Bantuan dihulurkan oleh pinjaman Pentadbiran Perniagaan Kecil dan Geran Blok Pembangunan Masyarakat dan Pinjaman Bencana Kerosakan Ekonomi (Community Development Block Grants and Economic Injury Disaster Loans) daripada kerajaan persekutuan.[210] Kira-kira31,900,000 kaki persegi (2,960,000 m2) ruang pejabat di Lower Manhattan rosak atau musnah sepenuhnya.[211]

Ramai yang tertanya-tanya adakah pekerjaan-pekerjaan dan asas cukai yang terjejas itu akan pulih.[212] Kajian terhadap kesan ekonomi 9/11 menunjukkan bahawa keterjejasan pasaran hartanah pejabat Manhattan tidak seteruk yang diharapkan dahulu disebabkan keperluan industri perkhidmatan kewangan untuk berinteraksi secara bersemuka.[213][214]

Ruang udara Amerika Syarikat ditutup selama beberapa hari selepas kejadian itu. Selepas ruang udara dibuka semula, perjalanan udara di benua itu banyak merosot sehingga muatan penerbangan terpaksa dipotong 20%, malah menerukkan masalah kewangan dalam industri penerbangan A.S. yang sedang bertenggang ketika itu.[215]

Kesan kesihatan

Seorang ahli bomba berdiri di tengah-tengah runtuhan dan asap di Bandar Raya New York

Beribu-ribu tan reruntuhan toksik yang terhasil akibat keruntuhan Menara Berkembar mengandungi lebih 2,500 jenis bahan cemar, termasuk karsinogen.[216][217] Ini menimbulkan masalah kesihatan yang melesukan badan di kalangan para penyelamat yang dikatakan ramai sebagai berkaitan langsung dengan keterdedahan kepada reruntuhan.[8][218] Misalnya, Pegawai NYPD Frank Macri meninggal dunia akibat barah paru-paru yang merebak ke seluruh badannya pada 3 September 2007; keluarganya mendakwa bahawa barah itu berpunca daripada dirinya yang berada terlalu lama di tempat kejadian lalu memohon faedah kematian ketika bertugas, tetapi belum diputuskan oleh pihak bandaraya hingga kini.[219] Pentadbiran Presiden Bush mengarahkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar supaya mengeluarkan kenyataan untuk menenteramkan orang awam mengenai kualiti udara ekoran serangan atas sebab keselamatan negara; namun begitu, agensi tersebut tidak memutuskan bahawa kualiti udara pulih kepada tahap sebelum 9/11 sehingga Jun 2002.[220]

Kesan kesihatan turut meluas kepada beberapa penduduk, pelajar dan pekerja pejabat di Lower Manhattan dan Chinatown.[221] Beberapa kematian telah dikaitkan dengan habuk toksik yang berpunca daripada keruntuhan World Trade Center, dan nama-nama mangsa ini juga akan tertera dalam tugu peringatan World Trade Center.[222] Juga terdapat spekulasi saintifik bahawa pendedahan kepada pelbagai keluaran toksik di udara boleh memudaratkan perkembangan janin. Disebabkan kemungkinan bahaya ini, Pusat Kesihatan Persekitaran Kanak-Kanak Columbia sedang menganalisa kanak-kanak yang dikandung oleh ibu mereka yang tinggal atau bekerja dekat World Trade Center sewaktu kejadian.[223] Kajian terhadap para pekerja penyelamat yang dikeluarkan pada April 2010 mendapati bahawa kesemua pekerja penyelamat itu mengalami kerosakan fungsi paru-paru, yang mana 30–40% pekerja melaporkan gejala berulang-ulang yang timbul dalam tahun pertama selepas kejadian, tanpa pemulihan yang ketara sejak itu.[224]

Pertikaian undang-undang mengenai kos merawat penyakit yang berkenaan dengan kejadian 9/11 masih berlonggok dalam sistem mahkamah. Pada 17 Oktober 2006, Hakim Persekutuan, Alvin Hellerstein menolak keengganan pentadbiran Bandar Raya New York untuk menanggung kos kesihatan untuk para pekerja penyelamat, sekaligus membuka jalan kepada tuntutan mahkamah terhadap kerajaan bandaraya.[225] Para pegawai kerajaan dipersalahkan kerana menyeru orang awam supaya kembali ke Lower Manhattan dalam beberapa minggu selepas kejadian. Christine Todd Whitman, pentadbir Agensi Perlindungan Alam Sekitar sewaktu serangan itu berlaku, teruk dikecam oleh Hakim Daerah AS, Deborah A. Batts kerana tersalah kata bahawa kawasan tersebut selamat diduduki.[226] Selain itu, Datuk Bandar Giuliani turut dibidas kerana menyeru para kakitangan industri kewangan supaya cepat-cepat kembali bertugas di kawasan Wall Street raya.[227]

Sesetengah rakyat Amerika menjadi takut untuk menaiki kapal terbang dan lebih rela memandu kereta untuk perjalanan jauh. Ini menyebabkan "lebihan" kira-kira 1,595 kematian di lebuh raya pada tahun berikutnya selepas kejadian.[228]

Rujukan

WikiPedia: Serangan 11 September 2001 http://www.theage.com.au/news/world/spain-jails-18... http://www.cbc.ca/world/story/2004/10/29/binladen_... http://www.cbc.ca/world/story/2006/09/07/al-qaeda-... http://www.tc.gc.ca/mediaroom/releases/nat/2001/01... http://www.chass.utoronto.ca/~ikalmar/illustex/bau... http://www.amconmag.com/2005_08_01/article3.html http://www.architectureweek.com/2001/0926/today.ht... http://www.biography.com/profiles-of-9-11/about911... http://www.bloomberg.com/news/2010-09-11/new-york-... http://sysdesignshowcase.broadcastengineering.com/...